Realme mengesahkan peranti Realme GT 8 Pro bakal dilengkapi dengan bateri berkapasiti 7,000mAh, bersama sokongan pengecasan pantas berwayar 120W dan nirwayar 50W.
Pengesahan ini dibuat menerusi poster rasmi yang dikeluarkan syarikat tersebut hari ini, menjelang pelancaran siri Realme GT 8 pada 21 Oktober di China.
Peranti baharu ini menunjukkan peningkatan signifikan berbanding model sebelumnya, Realme GT 7 Pro, yang dilancarkan tahun lalu dengan bateri 6,500mAh dan pengecasan pantas 120W, namun tanpa sokongan pengecasan nirwayar.
Selain pengecasan berwayar 120W dan nirwayar 50W, Realme GT 8 Pro juga menyokong ciri pengecasan pintasan (bypass charging).
Realme mendakwa GT 8 Pro mampu mencapai paras cas 0 hingga 50 peratus hanya dalam tempoh 15 minit menggunakan pengecas 120W.
Walaupun dibekalkan dengan bateri lebih besar, GT 8 Pro mempunyai ketebalan hanya 8.20mm, menjadikannya lebih nipis berbanding generasi sebelumnya yang berukuran 8.5mm.

Paparan dan Sistem Operasi
Berdasarkan laporan terkini, Realme GT 8 Pro dijangka menampilkan panel OLED rata 6.78 inci. Paparan ini menawarkan resolusi 2K, kadar segar semula 144Hz, serta dilengkapi penderia cap jari ultrasonik bawah paparan. Peranti ini akan beroperasi menggunakan sistem Android 16 yang berasaskan antaramuka Realme UI 7.
Keupayaan Kamera Canggih
Sistem kamera Realme GT 8 Pro dijangka hadir dengan kamera utama 50 megapiksel bersaiz 1/1.56 inci yang diperakui Ricoh dan menyokong penstabilan imej optikal (OIS). Ia turut ditemani oleh lensa ultra-lebar 50 megapiksel dan kamera 200 megapiksel, yang mungkin menggunakan sensor Samsung HP5.
Realme turut mengesahkan peranti ini berupaya merakam video 4K pada 120fps dengan sokongan Dolby Vision. Ciri unik lain adalah modul kamera yang boleh ditukar ganti, membolehkan pengguna memilih antara reka letak segi empat, bulat, dan robot.
Prestasi dan Penyimpanan
Selain cip pemprosesan Snapdragon 8 Elite Gen 5, GT 8 Pro akan dilengkapi dengan cip R1 untuk peningkatan grafik. Peranti ini dijangka datang dengan konfigurasi memori RAM sehingga 16GB dan storan dalaman sehingga 1TB. Anggaran berat peranti ini adalah antara 209 hingga 214 gram.