Siri iPhone 17 telah diperkenalkan secara rasmi pada 10 September melalui acara Apple Event (Awe Dropping) dan mula dijual di pasaran Malaysia pada 19 September 2025. Namun, selepas hampir sebulan berada di pasaran, model premium iPhone 17 Pro kini dilaporkan menghadapi beberapa masalah pelik oleh para penggunanya.
Laporan yang diterima menunjukkan empat isu utama sering dibangkitkan, melibatkan ketahanan fizikal, estetika, serta fungsi asas peranti. Antaranya ialah masalah mudah calar, perubahan warna, isu lampu denyar (flashlight), dan kedudukan logo Apple yang tidak selari dengan aksesori MagSafe.
Isu Mudah Calar (Scratchgate)

Antara masalah paling popular yang membelenggu iPhone 17 Pro ialah isu mudah calar atau scratchgate. Model premium ini, terutamanya, didapati lebih terdedah kepada kesan calar berbanding siri iPhone sebelumnya. Kesan calar ini paling ketara dapat dilihat pada unit berwarna Cosmic Orange dan Deep Blue.
Lebih mengecewakan, penggunaan pengecas MagSafe tanpa sarung pelindung boleh menyebabkan kesan calar berbentuk bulat pada panel belakang peranti. Selain calar, iPhone 17 Pro juga dilaporkan mudah mengalami kesan kemek (dent) berbanding model terdahulu.
Artikel Lain:
iPhone Lipat Apple Ditunda ke 2027, Kerumitan Reka Bentuk Punca Utama
Sesetengah pengguna pada awalnya beranggapan kesan calar itu hanyalah pemindahan material, namun ia tidak hilang walaupun digosok. Masalah ini dikaitkan dengan penggunaan binaan aluminium unibody, yang ironinya dipromosikan oleh Apple sebagai bahan dengan ketahanan yang lebih baik.
Perubahan Warna

Satu lagi isu yang dilaporkan melibatkan perubahan warna pada iPhone 17 Pro Max dengan warna Cosmic Orange. Seorang pengguna di platform Reddit melaporkan peranti beliau secara tiba-tiba bertukar warna kepada merah jambu.
Perubahan warna tersebut berlaku secara beransur-ansur, bermula dengan tona menyerupai warna ‘rose gold’ sebelum bertukar menjadi merah jambu yang lebih ketara. Menariknya, hanya bahagian aluminium peranti yang mengalami perubahan warna, manakala panel belakang kekal dengan warna asalnya.
Beberapa teori dikemukakan bagi menjelaskan masalah ini, termasuklah pendedahan kepada haba atau radiasi, masalah dalam proses anodisasi atau pewarnaan aluminium, serta reaksi kimia daripada kulit pengguna.
Kesan Bayang Lampu Denyar

Masalah lain bukan sekadar isu kosmetik, malah melibatkan fungsi penting peranti. Perubahan kedudukan lampu denyar (flashlight) pada iPhone 17 Pro menimbulkan kesan bayang yang ketara semasa mengambil gambar atau merakam video menggunakan denyar.
Situasi ini berlaku kerana kedudukan lampu denyar diletakkan lebih jauh daripada sebelumnya. Ini menyebabkan cahaya seolah-olah disuluh dari sudut luar dan bukan dari sisi kamera, seperti yang biasa berlaku pada model iPhone terdahulu.
Artikel Lain:
MacBook Pro Skrin Sentuh Tiba 2026, Apple Ubah Haluan, Harga Dijangka Naik
Walaupun isu ini tidak menjejaskan semua situasi rakaman, ia mungkin sedikit mengganggu pengguna yang kerap mengambil gambar atau merakam video pada jarak dekat.
Logo Apple Tidak Selari dengan Aksesori MagSafe

Perubahan reka bentuk juga menimbulkan isu keselarasan. Kedudukan logo Apple pada iPhone 17 Pro kini sedikit lebih ke bawah berbanding sebelumnya. Perubahan ini mengakibatkan kedudukan logo Apple kelihatan agak pelik atau tidak selari apabila peranti digunakan bersama sarung pelindung MagSafe.
Beberapa pengguna mempersoalkan keselarasan antara kedudukan logo Apple yang baharu dengan sistem magnet pada MagSafe. Apple dikatakan terpaksa mengubah kedudukan logo ini berikutan rekaan modul kamera iPhone 17 Pro yang bersaiz lebih besar.