Honor telah mendedahkan peranti konsep baharu yang dinamakan “Robot Phone” semasa acara pelancaran Honor Magic8 baru-baru ini.
Telefon pintar inovatif ini dilengkapi dengan kamera belakang yang disambungkan kepada gimbal khusus, membolehkannya memantau persekitaran pengguna serta berfungsi sebagai teman peribadi, dengan butiran lanjut dijangka akan diperkenalkan di Mobile World Congress (MWC) 2026.
Peranti konsep ‘Robot Phone’ ini menonjolkan bahagian kamera belakang yang diintegrasikan dengan gimbal khusus, memberikan keupayaan untuk memerhati persekitaran di sekeliling pengguna.
Berdasarkan demonstrasi video konsep yang dipamerkan, ia turut dilihat mampu berinteraksi dengan persekitaran, berkemungkinan besar melalui pengintegrasian kecerdasan buatan (AI).
Fungsi kamera ini bukan sahaja terhad kepada pemerhatian persekitaran, malah boleh dimanfaatkan untuk merakamkan gambar pengguna dari pelbagai sudut pandangan.
Keupayaan ini berpotensi menghasilkan rakaman yang lebih menarik dan dinamik. Honor turut memposisikan penawaran ini sebagai teman setia kepada pengguna pada bila-bila masa dan dalam pelbagai situasi, mengambil kira gaya hidup moden yang sentiasa membawa telefon ke mana-mana.
Honor dijangka akan memperincikan lebih lanjut mengenai ‘Robot Phone’ ini di acara Mobile World Congress 2026.
Acara global tersebut lazimnya berlangsung sekitar bulan Februari atau Mac, menjanjikan pendedahan penuh terhadap inovasi peranti konsep ini.