Samsung bakal melancarkan alat dengar realiti diperluas (XR) terbaharunya, dikenali sebagai Projek Moohan, pada 29 September ini. Berbeza dengan pendekatan Apple untuk Apple Vision Pro tahun lalu, Samsung dilaporkan mengambil pendekatan yang lebih realistik dalam kembalinya ke pasaran XR.
Menurut laporan, Samsung hanya merancang untuk mengeluarkan 100,000 unit alat dengar tersebut pada pelancaran awalnya. Sebagai perbandingan, telefon lipat tiga Galaxy Z Fold baharu dijangka mempunyai sekurang-kurangnya 200,000 unit untuk pelancaran terhadnya. Ini menunjukkan strategi berhati-hati Samsung dalam pasaran XR yang masih lagi niche.
Harga Projek Moohan dijangka tinggi, meskipun tidak semahal Vision Pro yang berharga $3,499 (lebih kurang RM15,000) semasa pelancaran.
Ia juga tidak akan semurah Meta Quest 3 atau Quest 3S. Keputusan ini mengambil kira keadaan pasaran semasa, di mana industri XR belum mencapai tahap penerimaan meluas seperti telefon pintar.
Apple pada mulanya menjangkakan jualan sejuta unit Vision Pro menjelang akhir 2024. Namun, sehingga pertengahan 2025, anggaran menunjukkan hanya sekitar setengah juta unit terjual.
Minat korporat terhadap Vision Pro, yang diharap tinggi oleh Apple, juga merosot sejurus selepas pelancarannya. Kejayaan terhad Vision Pro menjadi pengajaran berharga bagi Samsung dalam merangka strategi Projek Moohan.
Samsung telahpun mengurangkan jangkaan jualan untuk Galaxy Z Fold 7 dan Galaxy Z Flip 7 disebabkan keadaan industri telefon lipat. Pengalaman ini telah mendorong syarikat tersebut untuk menggunakan logik yang sama terhadap Projek Moohan, dengan mengambil pendekatan yang lebih berhemat dan realistik.
Walaupun pelancaran awal hanya di Korea Selatan dan pengeluaran terhad, Projek Moohan mempunyai potensi yang besar. Jika Samsung dapat menawarkan pengalaman yang setanding dengan Vision Pro pada harga yang lebih rendah, ia berpotensi untuk mengatasi pesaing.
Sokongan untuk permainan realiti maya (VR) juga merupakan satu kelebihan yang perlu diberikan perhatian, berbeza dengan kesilapan Apple dengan Vision Pro.
Secara semula jadi, dengan penurunan kos pengeluaran, kita akan melihat model-model pengganti yang lebih mampu milik muncul dalam tahun-tahun akan datang. Namun, sama ada ia dapat bersaing dengan cermin mata AR pintar yang sedang dibangunkan oleh Meta dan Apple masih belum dapat dipastikan.