Apple Glass Bakal Guna Dua OS Berbeza, Dijangka Tiba 2027

Apple Glass Bakal Guna Dua OS Berbeza, Dijangka Tiba 2027

Apple dikhabarkan sedang giat membangunkan cermin mata pintar pertamanya, “Apple Glass”, yang dilaporkan akan beroperasi menggunakan dua sistem operasi berbeza bergantung kepada peranti yang disambungkan.

Menurut Mark Gurman dari Bloomberg, perkembangan ini turut menyaksikan penangguhan versi Apple Vision yang lebih ringan.

Generasi kedua Apple Glass ini dijangka dilancarkan pada tahun 2027 dan akan mempunyai skrin terbina terus pada lensanya. Apabila disambungkan kepada komputer macOS, peranti ini akan menggunakan visionOS untuk pengalaman yang lebih menyeluruh.

Walau bagaimanapun, apabila dihubungkan dengan iPhone, sistem operasi yang lebih ringan akan digunakan. Identiti serta perbezaan sistem operasi kedua ini dengan visionOS masih belum didedahkan secara rasmi.

Pada masa sama, Apple dikatakan sedang menguji sambungan melalui kabel bagi mengurangkan masa pendam. Namun, syarikat itu bimbang pelancaran produk dengan sambungan berkabel akan mengurangkan daya tarikannya, terutamanya apabila pesaing seperti Meta Ray-Ban Display menawarkan peranti tanpa kabel.

Tahun 2026 dijangka menjadi tempoh penting bagi industri cermin mata pintar. Lebih banyak pengeluar dijangka memperkenalkan produk mereka, sekali gus mencabar dominasi Meta dalam arena ini. Samsung dan Google, melalui cermin mata pintar Android XR mereka, dijangka menjadi pesaing utama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *